Thursday, November 3, 2011

Hidayah.



Tiba-tiba aku teringatkan seseorang.

Seorang kawan perempuan yang tinggal di sebelah rumah semasa kecil dulu di kem polis hutan Ulu Kinta, di bangunan flat sepuluh tingkat itu. Pertama kali, mungkin, aku tidak berapa malu sangat dengan perempuan asing (baca: bukan ahli keluarga), seperti kebiasaannya. Keluarganya warak. Ibunya bertudung labuh. Setiap petang berkumandang lagu-lagu islamik dari dalam rumah mereka. Dia pula, seorang gadis kecil yang ceria dan kelakar. Ada ketika itu, kakak aku mengusik dia dengan gelaran minah senget. Dia tidak marah, malah siap berlakon menjadi perempuan berkepala senget sambil tertawa-tawa selepas digelar begitu.

Kami selalu bermain bersama. Bergaduh pun bersama. Pernah suatu hari, aku menyalahgunakan kuasa sebagai seorang pengawas sekolah rendah semata-mata kerana pergaduhan kami itu. Akibat geram yang melampau, dan masih keanak-anakan, namanya aku tulis dalam buku catatan kecil pengawas untuk nama orang-orang yang melakukan kesalahan.

Suatu hari, aku tidak nampak kelibatnya lagi. Kata ayah dan emak, dia sudah pergi kerana sakit. Sejak itu, keluarganya berpindah keluar dari kem. Sejak itu juga, aku tidak pernah berjumpa dengan keluarganya lagi. Apatah lagi dengan dia.






Al-fatihah untuk seorang sahabat perempuan bernama Hidayah.

Friday, October 7, 2011

Sembunyikan.

Setiap yang terlukis pada raut wajah yang tersurat ini, 
bukan semuanya interpretasi kepada emosi jiwa dalamnya. 
Tetapi untuk menyorok jiwa itu. 
Kadang, memberi hibur kepada orang lain 
adalah terapi tidak kekal kepada emosi jiwa dalam  itu,
yang sentiasa jatuh.

"Aku lontar lagu ini jauh ke langit tinggi, 
tetapi jatuh kembali ke hidungku. Tepat."


Tuesday, October 4, 2011

Turning Point.

Hari ini, saya belajar lagi tentang manusia.

Mereka perlukan satu 'turning point', pada usia enam tahun mereka.
Untuk menjadikan diri mereka seorang yang tabah,
dan yakin pada diri dalam perjalanan kedewasaan hidup mereka.




Thursday, September 29, 2011

Rough Demo.

(Untuk para hati yang satu)



Jo Hakim - Morning Night




Jo Hakim - Malam Yang Pagi

Wednesday, September 28, 2011

Pemimpi.

Untung rugi seorang pemimpi, ada waktu dia boleh terbang tinggi ke bintang kejora bersama angin angan-angannya. Tetapi ada juga waktunya dia melayang-layang tanpa pemandu dalam angin angan-angannya itu, kemudian terjatuh seperti layang-layang yang sudah habis khidmatnya. Seorang pemimpi itu ibarat berdiri dan berjalan di atas jambatan halus. Kalau dia bijak mengimbangkan jiwanya berjalan di atas jambatan mimpi itu, dia akan berjaya sampai ke hujungnya. Kalau dia gagal, (walau cuma untuk berdiri) dia akan jatuh dan lemas dalam mimpi-mimpinya sendiri.

Sunday, September 25, 2011

Revival.

Assalamualaikum.

Selepas beberapa tempoh panjang, akhirnya aku dapat semula alamat blog ini. Iya, kerana masih mentah, aku melarikan diri. Aku mengaku masih rindu pada ini.