Thursday, November 3, 2011

Hidayah.



Tiba-tiba aku teringatkan seseorang.

Seorang kawan perempuan yang tinggal di sebelah rumah semasa kecil dulu di kem polis hutan Ulu Kinta, di bangunan flat sepuluh tingkat itu. Pertama kali, mungkin, aku tidak berapa malu sangat dengan perempuan asing (baca: bukan ahli keluarga), seperti kebiasaannya. Keluarganya warak. Ibunya bertudung labuh. Setiap petang berkumandang lagu-lagu islamik dari dalam rumah mereka. Dia pula, seorang gadis kecil yang ceria dan kelakar. Ada ketika itu, kakak aku mengusik dia dengan gelaran minah senget. Dia tidak marah, malah siap berlakon menjadi perempuan berkepala senget sambil tertawa-tawa selepas digelar begitu.

Kami selalu bermain bersama. Bergaduh pun bersama. Pernah suatu hari, aku menyalahgunakan kuasa sebagai seorang pengawas sekolah rendah semata-mata kerana pergaduhan kami itu. Akibat geram yang melampau, dan masih keanak-anakan, namanya aku tulis dalam buku catatan kecil pengawas untuk nama orang-orang yang melakukan kesalahan.

Suatu hari, aku tidak nampak kelibatnya lagi. Kata ayah dan emak, dia sudah pergi kerana sakit. Sejak itu, keluarganya berpindah keluar dari kem. Sejak itu juga, aku tidak pernah berjumpa dengan keluarganya lagi. Apatah lagi dengan dia.






Al-fatihah untuk seorang sahabat perempuan bernama Hidayah.

3 comments: